The original and official compactmotorsports.

Due to unavoidable circumstances

Sunday, April 24, 2011

Pemenang Muka Baru, Perlumbaan Penuh Aksi!

Nombor satu V.Logesvaran, nombor dua Mohd Yuszaidi, nombor tiga Mohd Firdhaus Muhli. Piala kemenangan disampaikan olen Pengurus Teknikal GAB, Encik Raven.

Pusingan ketiga GAB Super Compact 2011 telah menyaksikan banyak kejadian luar jangkaan.

Juara Super Compact Championship dua kali, K. Perajun gagal menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama akibat masalah teknikal kepada kereta lumba beliau.

T.Francis Xavier, pemilik kereta dan ketua mekanik kereta yang dipandu Perajun berkata, masalah lama yang berlaku pada tahun 2007 dahulu telah menghantui kembali. Pada tahun tersebut, Perajun dicabar hebat oleh Syazril Amri Abdul Rahman yang memandu kereta lumba Kancil milik Haji Hanizam Samsudin.

Kini pada tahun 2011 pula, sedang Perajun dicabar hebat oleh K.Logesvaran (Sing Boy), masalah itu timbul kembali.

Dalam kemenangan yang seolah-olah telah dijangka dari awal oleh beberapa pihak, kemenangan Sing Boy dianggap oleh beliau sendiri sebagai kurang kemanisannya kerana ketiadaan saingan dari Perajun.

Persediaan kereta Sing Boy nyata mengejutkan banyak pihak, bak kata Hj. Hanizam ('Zam 216'), "Dah macam kereta Super GT tu!".

Namun begitu, saingan dari pelumba lain tidak kurang juga hebatnya.

Semangat juang yang tinggi dari kebanyakan pelumba, terutamanya pemenang tempat kedua Mohd Yuszaidi Supangat, yang baru pertama kali menyertai perlumbaan GAB Super Compact ini harus diberikan pujian. Walaupun diasak hebat oleh Mohd Firdhaus Muhli dan Hj. Hanizam pada pusingan kedua, beliau masih mampu bertahan, meskipun kereta lumba milik Hj. Hanizam jelas lebih pantas.

Hj. Hanizam kurang bernasib baik kali ini, kerana masalah tayar depan sebelah kiri kereta beliau yang hampir tertanggal pada pusingan pertama. Pun begitu, pada pusingan kedua Hj.Zam yang bermula di petak paling akhir (petak ketiga belas) masih mampu mengejar peserta-peserta lain sehingga hampir berjaya menaiki podium. Hj Hanizam menduduki tempat keempat pada akhir perlumbaan.

Mohd Firdhaus Muhli ('Apai'), berjaya menaiki podium pada tangga ketiga. Nyata sekali penambahbaikan pada kereta lumba beliau pada pusingan ketiga ini nyata berbaloi sekali.

Kedua-dua pelumba tajaan minyak pelincir Blue.Sky, Mohd Afiq Mohd Zulkifli ('Afiq')dan Shairazi Izhar juga tidak kurang kepantasan mereka. Afiq, yang menggunakan tayar perlumbaan ("Full Slick"), menunjukkan permulaan yang baik, tapi oleh kerana masalah tayar tersebut pada pusingan pertama, telah menyebabkan beliau hilang rentak untuk bersaing dihadapan.

Shairazi Izhar ('Razee') melakukan kejutan apabila mendahului di selekoh pertama pada pusingan pertama. Terjahan berani beliau meninggalkan peserta-peserta lain jauh di belakang. Sasaran Razee untuk memperbaiki catatan masa peribadi terbaik beliau tercapai, iaitu 1 minit 28.014 saat yang dicatatkan pada perlumbaan pertama.

Nor Zaharuthul Bin Roslan ('Kutoi') mengalami nasib malang apabila pada perlumbaan pertama, cermin depan kereta beliau pecah akibat hentakan batu yang melantun dari kereta lain semasa berlumba.

Tindakan pantas JDM Carshop dan krew berjaya menukar cermin kereta Kutoi untuk sempat berlumba pada perlumbaan kedua. Cermin kereta Azizul Fazli Abdul Razak ('Champkitty', Pemilik JDM Carshop) telah dibuka untuk mengganti cermin kereta Kutoi yang pecah.

Iskandar Fitri Baharuddin telah memperbaharui catatan masa beliau dengan amat ketara sekali. Pada perlumbaan pertama catatan masa terbaik Fitri adalah 1 minit 35.996 saat, tetapi pada perlumbaan kedua catatan masa terbaik beliau adalah pada 1 minit 31.486 saat! Perbezaan masa 4 saat!

Mohd Zaki Mat Hassan ('Aki') juga telah memperbaiki catatan masa pada 1 minit 34.946 saat. Aki berazam untuk mempertingkatkan lagi kereta lumba beliau pada perlumbaan yang akan datang.

Pendatang baru GAB Super Compact, Nazren Ramli dan Muhamad Zul Zharif Bin Supangat juga mempamerkan catatan masa yang agak baik. Kedua-dua pelumba ini menunjukkan semangat perlumbaan yang tinggi, dan mereka menyatakan untuk memperbaiki lagi persiapan perlumbaan.

Bagi Mohd Nazron bin Razali ('Pranas' Double X Garage), saingan beliau berakhir pada perlumbaan pertama apabila beliau mengalami masalah enjin. Pun begitu Nazron telah mempamerkan pemanduan yang mantap untuk bersaing dengan pemandu-pemandu GAB Super Compact lain yang lebih berpengalaman.

Mohd Faizal Bin Nordin ('Jan' Sakura) dan Anwar Punandir ('Nuex' JDM Carshop) rata-rata bersaing sesama sendiri sepanjang perlumbaan pertama dan kedua. Jan yang memandu kereta 1.0 liter NA, dan Nuex enjin turbo dengan kotak gear automatik, sentiasa memberikan saingan sesama mereka.

Pelumba berpengalaman, Roduwan Rashid, dihampakan oleh kerosakan enjin pada perlumbaan pertama. Roduwan ('Chepot') yang bermula pada petak terakhir, petak lapan belas, telah memintas banyak kereta pada awal perlumbaan. Tetapi apabila timbul masalah enjin, beliau terpaksa memasuki pit dan menyebabkan perlumbaan beliau terjejas.

Mohamad Rizuwan B. Mohd Noraini ('Along', Rayyan Motorsport) mengalami nasib yang sama seperti Chepot apabila enjin kereta beliau telah kehilangan satu omboh, disebabkan oleh palam pencucuh yang patah sebelum perlumbaan bermula.

Nantikan peningkatan dan saingan yang lebih hebat dan luar jangkaan GAB Super Compact 2011 pusingan keempat pada 11hb JUN nanti!

CM.

1 comment:

SugarBrain said...

11 Jun..Looking forward to it..


-JGDTorko