The original and official compactmotorsports.

Due to unavoidable circumstances

Friday, June 17, 2011

Pusingan ke-4 GAB Super Compact 2011- Lapuran perlumbaan

Walaupun ketiadaan juara bertahan K.Perajun pada pusingan kali ini (kerana ibu kepada T. Francis Xavier, tuan punya kereta, telah meninggal dunia), saingan dan aksi perlumbaan tetap memaparkan aksi-aksi mendebarkan.

Dari mula perlumbaan semasa pra kelayakan ('Heat' 1), Sing Boy (K.Logesvaran) telah mula mengalami masalah enjin. Walaupun begitu, beliau masih mampu untuk meletakkan kereta beliau pada kedudukan nombor satu untuk perlumbaan pusingan akhir ('Heat' 2).

Semasa 'Heat' 1, beberapa kereta telah mengalami masalah teknikal. Antaranya Shairazi Izhar, yang pernah menduduki tempat kedua pada pusingan pertama yang lalu. Pada awal permulaan, Shairazi dilihat mendahului pelumba-pelumba lain menuju ke selekoh pertama. Tetapi apabila perlumbaan memasuki pusingan kedua, kereta Razee mula perlahan dan seterusnya berhenti di selekoh yang pertama akibat kegagalan enjin keretanya berfungsi.

Kereta Hanizam Samsudin, yang dilihat mampu menduduki tiga tempat teratas pada sesi latihan, juga mengalami masalah teknikal. Hj.Zam tidak dapat meneruskan saingan akibat kerosakan yang kronik pada bahagian pemacu tayar depan.

Mohd Aizat, Amirul dan juga Anwar Punandir tidak dapat meneruskan saingan kerana kerosakan enjin.

Pada permulaan perlumbaan akhir ('Heat 2'), Mohd Afiq yang bermula di petak kedua meluru ke hadapan dengan permulaan yang baik sekali sehingga ke selekoh pertama, diekori rapat oleh Iskandar Fitri, Sing Boy, Roduwan Rashid dan Nor Zaharuthul.

Masuk pusingan kedua, Sing Boy telah memintas Afiq untuk mendahului perlumbaan, apabila kereta Kutoi (Nor Zaharuthul) pula mengalami kebocoran enjin dan memaksanya berhenti di selekoh pertama. Kereta Kutoi telah mengalami kebakaran di bahagian enjin, dan tindakan pantas beliau menggunakan pemadam api telah berjaya menyelamatkan kereta beliau dari dijilat api.

Perlumbaan dihentikan untuk memindahkan kereta Kutoi dan membersihkan minyak yang tumpah dari kereta Kutoi.

Setelah perlumbaan dimulakan kembali, Sing Boy, Afiq, Zahid latif (Hairil Anuar) sekali lagi bersaing menuju ke selekoh pertama diekori rapat oleh Yuszaidi (Ahmad Zambri), Muhammad Tarmizi, Roduwan dan Iskandar Fitri.

Iskandar Fitri telah terbabas dikala bersaing kedudukan dan menyebabkan beliau tercicir ke kedudukan di belakang. Sing Boy yang telah mendahului mula menjarakkan kedudukan dari Afiq dan Zahid yang bersaing ditempat kedua dan ketiga sehingga akhir perlumbaan.

Perlumbaan GAB Super Compact kali ini memang menyaksikan peningkatan kemampuan dikalangan pelumba-pelumba. Saingan juga bertambah sengit, dan para pelumba baru semakin memahami bahawa berlumba di litar memerlukan disiplin dan keyakinan diri yang tinggi, bukan bantuan teknologi semata-mata.

CM.

No comments: