The original and official compactmotorsports.

Due to unavoidable circumstances

Wednesday, July 04, 2012

NABIL JEFFRI MENANG DI PERANCIS


BERITA SUKAN PERMOTORAN (Selasa, 3 Julai 2012)

KEJUARAAN JK RACING ASIA SERIES 2012
NABIL JEFFRI CATAT SEJARAH DI LITAR PAUL RICARD

Nabil Jeffri menang di JK Racing Asia Series di Litar Paul Ricard, Perancis
Nabil Jeffri menang di Litar Paul Ricard

Litar Paul Ricard – sirkit keramat yang membantu menaikkan nama lagenda F1 Alain Prost, turut menjadi gelanggang bertuah kepada pemandu muda negara Nabil Jeffri, yang mencatat sejarah peribadi menjadi pelumba Malaysia pertama untuk  mencipta kemenangan di litar berprestij penuh tradisi itu apabila memenangi Pusingan 5 saingan ‘single-seater’ JK Racing Asia Series.

Di samping catatan sejarah, kemenangan berkenaan turut membantu pemandu pasukan Eurointernational melonjakkan diri ke persada kejuaraan; sekali gus meletakkan ikon belia negara itu di landasan tepat merealisasikan sasaran beliau untuk muncul juara keseluruhan musim ini untuk siri kejuaraan, yang dahulunya dikenali sebagai Formula BMW Pacific Series.

Tidak kurang penting, kejayaan di bumi Perancis itu – di mana Nabil muncul naib juara pada Pusingan 6 – memberikan keyakinan kepada Nabil untuk mencatat kejayaan lebih besar pada saingan seterusnya yang bakal diadakan di satu lagi gelanggang keramat Formula 1 – Litar Spa-Francorchamps di Belgium pada akhir bulan ini.

“Tentunya, saya amat gembira untuk menjadi pemandu negara pertama yang mencatat kemenangan di Paul Ricard.  Ia adalah litar yang kaya dengan sejarah dan tradisi dan cukup glamour. Nama-nama lagenda F1 seperti Alain Prost, Nigel Mansell, Niki Lauda dan Jackie Stewart cukup sinomin dengan kejayaan di litar ini. 

“Kini, saya boleh katakan bahawa saya juga pernah berdiri di tempat pemenang di podium; dan meraikan kemenangan dengan alunan lagu kebangsaan Negaraku … tentunya, detik yang cukup hebat untuk saya dan keluarga saya yang berada di litar ketika itu,” kata Nabil, yang sememangnya bercita-cita menjadi pemandu F1 dan kini mengutip 97 mata untuk mendahului saingan terdekat beliau, Aston Hare dengan kelebihan tujuh mata.

Tiga pemenang teratas
Dari kiri: Aston Ohare, Nabil Jeffri dan Tan Wei Ron

Di antara nama-nama lagenda F1 yang disebut oleh Nabil, pemandu Perancis Prost adalah pelumba paling berjaya di Litar Paul Ricard dengan mencatat empat kemenangan; dengan diikuti oleh Mansell, yang pernah menang dua kali Grand Prix Perancis pada 1986 dan 1987 sebelum menyaksikan Prost mencatat kemenangan tiga kali berturut-turut pada 1988, 1989 dan 1990.

Grand Prix Perancis 1990 itu adalah perlumbaan F1 terakhir yang diadakan di Litar Paul Ricard, litar penuh teknikal yang kini dibangunkan semula sebagai gelanggang ujian rasmi untuk pasukan-pasukan F1. Mempunyai ciri unik dengan fleksibiliti untuk menghidangkan 167 spesifikasi trek buat pelbagai kegunaan daripada jarak 826 meter kepada 5,861 meter, Litar Paul Ricard akan kembali menjadi gelanggang pertarungan F1 pada musim 2013; dengan diselang-selikan dengan Litar Spa.

Nabil Jeffri menang di KJ Racing Asia Series di Litar Paul Ricard
Nabil Jeffri menang di Litar Paul Ricard, Perancis

Kata Nabil: “Saya memang tidak sabar menunggu saingan di Spa. Bukan saja kerana kejayaan di Paul Ricard; tetapi kerana Spa sememangnya litar kegemaran saya. Saya yakin dapat beraksi dengan lebih baik dan lebih pantas lagi di Spa nanti.

“Saya benar-benar yakin dengan prestasi saya di sana,” kata Nabil, yang menamatkan perlumbaan dengan hanya 0.143 saat di belakang rakan senegara Afiq Yazid pada Pusingan 6 dan perlumbaan kedua di Litar Paul Ricard. Pemandu Meritus itu menamatkan perlumbaan 1 di tempat kesembilan selepas dikenakan penalti ‘drive-through’.

Mengimbas kembali kemenangan bersejarah beliau pada Perlumbaan 1, Nabil, yang memandu jentera dengan nombor perlumbaan #1 dan bermula daripada petak ketiga  dalam grid di belakang Afiq dan Aston, berkata bahawa dia mempunyai permulaan yang baik, yang meletakkan beliau di tempat ketiga pada selekoh pertama.

Nabil Jeffri setelah memenangi perlumbaan di Litar Paul Ricard
Nabil Jeffri gembira setelah memenangi perlumbaan

Nabil Berjaya memintas pemandu ‘Caterham Driver development program’ di akhir pusingan pertama dan mengekori rapat Afiq Yazid. Afiq Yazid masuk ke pit di akhir pusingan ketiga bagi menjalani ‘drive through penalty’ selepas didapati Steward melakukan ‘False Start’. Selepas itu, Nabil mengepalai pelumba-pelumba lain dan memandu dengan selesa sehingga dikibarkan bendera tamat perlumbaan.

“Sememangnya, Ron adalah rakan sepasukan saya; tetapi di litar, dia adalah pencabar saya,  ia adalah saingan yang cukup menyeronokkan,” kata Nabil, yang meletakkan kejayaan kepada sokongan padu daripada krew pasukan beliau-Eurointernational, yang menyediakan beliau jentera yang hebat.

Perlumbaan kedua menyaksikan saingan sengit antara Nabil dan Afiq, yang akhirnya menyaksikan pemandu Meritus itu mencipta kemenangan tipis ke atas rakan senegaranya. 
 
Temuramah Nabil Jeffri setelah memenangi perlumbaan di Litar Paul ricard
Nabil Jeffri ditemuramah selepas perlumbaan

Litar Spa akan menjadi hos kepada saingan Pusingan 7 dan 8 sebelum diikuti dengan Pusingan 9 dan 10 di Singapura daripada 21 hingga 29 September. Enam pusingan akhir akan diadakan di New Delhi, India dengan Pusingan 11 dan 12, yang akan diadakan 26 hingga 28 Oktober, dan Pusingan 13, 14, 15 dan 16 daripada 30 November hingga 2 Disember.


Kedudukan Mata selepas 6 Pusingan

  1. Nabil Jeffri                  MAS                   97 Mata
  2. Aston Hare                   RSA                   90 Mata
  3. Afiq Yazid                    MAS                  53 Mata
  4. Irfan Ilyas                    MAS                  48 Mata
  5. Akash Nandy                MAS                  45 Mata
  6. Tan Wei Ron                MAS                  37 Mata
  7. Aidan Wright                AUS                  37 Mata
  8.  Danial Hidzir               MAS                  30 Mata
  9.  Ernie Van Der Walt       RSA                  23 Mata
  10.   Josh Raneri                  AUS                  17 Mata
  11. Toby Earle                            THA                         11 Mata


No comments: